Badan yang sihat bermula daripada permakanan yang seimbang.

Wednesday, August 7, 2019

Senaman bagi individu berpenyakit

Untuk memulakan program senaman, faktor perubatan patut diambil kira. Mempunyai penyakit kronik bukan penghalang daripada melakukan senaman. Malahan kebanyakan penyakit memerlukan senaman untuk mengawalnya. Senaman yang ringan biasanya dibenarkan. Jika berumur >45 tahun, mempunyai penyakit jantung, darah tinggi, kencing manis atau mengambil preskripsi ubat-ubatan, perundingan dengan doktor diperlukan dahulu sebelum memulakan program senaman. Mereka yang mempunyai masalah muskuloskeletal seperti sakit belakang atau lutut, senaman yang berat perlu dihindarkan kerana senaman ini akan menyebabkan masalah kecederaan menjadi bertambah buruk. Masalah perubatan seperti sakit belakang perlu dirawat terlebih dahulu sebelum memulakan program senaman. Mulakan program senaman dengan perlahan dan berhati-hati. Jika tiada masalah, teruskan senaman dan tingkatkan intensiti senaman dengan sederhana. Hanya diri sendiri yang mengetahui batas dan kemampuan badan. Jika semuanya berjalan lancar, senaman dapat diteruskan dan hendaklah berterusan untuk mendapat kesan positif.

Penyakit darah tinggi dapat dikawal dengan lebih baik apabila kita melakukan senaman. Pengambilan ubatan mungkin dapat dikurangkan. Senaman mampu mencegah komplikasi darah tinggi, iaitu serangan jantung dan pembentukan penyakit lain seperti kencing manis. Dalam perubatan, apabila kita telah mendapat satu penyakit, adalah lebih mudah untuk mendapat penyakit kedua. Apabila terdapat dua penyakit, penyakit ketiga lagi lebih mudah untuk terjadi.

Pesakit yang telah mendapat serangan jantung buat kali pertama mudah untuk mendapat serangan jantung yang kedua dan yang lebih teruk lagi boleh menyebabkan kematian. Dapatkan nasihat doktor sebelum memulakan senaman. Pesakit jantung patut memulakan dengan senaman yang ringan dan jika berasa selesa, mereka boleh meningkatkan senaman berintensiti secara perlahan. Mulakan dengan berjalan kaki 30 minit sehari, 2-3 kali seminggu.

Senaman ialah satu rawatan bagi penyakit kencing manis. Aktiviti fizikal merangsang pengeluaran insulin dan menyebabkan gula dalam darah dapat disimpan. Terdapat pesakit kencing manis yang tidak memerlukan sebarang ubatan apabila bersenam. Akan tetapi, mereka memerlukan pemantauan yang berterusan. Jika tahap gula dalam darah meningkat walaupun telah bersenam, senaman tidak dapat mengawal penyakit kencing manis. Mereka mungkin perlu meningkatkan intensiti dan jangka masa senaman. Perlu diingat pesakit kencing manis tidak boleh berlebihan melakukan senaman kerana ditakuti tahap gula dalam darah menjadi sangat rendah dan boleh menyebabkan pesakit pengsan. Pesakit kencing manis yang melakukan senaman haruslah membawa bersama-samanya snek manis seperti gula-gula, coklat atau minuman manis yang boleh diambil jika mereka merasa tanda kekurangan gula, iaitu seperti berasa gelap mata, pening, loya dan sebagainya.

No comments:

Post a Comment

Mengira tenaga mengikut aktiviti

Aktiviti fizikal dibahagikan kepada aktiviti sedentari, sederhana dan berat. Aktiviti sedentari atau aktiviti ringan meliputi kebanyakan tug...