Badan yang sihat bermula daripada permakanan yang seimbang.

Saturday, July 13, 2019

Makanan tinggi kandungan gula boleh menyebabkan obes

Harus diingat terdapat makanan yang mengandungi banyak gula yang tersembunyi seperti dalam kuih tempatan, seperti kuih bingka, bahulu, koci, coklat, kek, donut, mufin, biskut dan lain-lain. Makanan sebegini juga dinamakan  makanan yang mempunyai indeks glisemik yang tinggi. Indeks glisemik ialah satu indeks yang mengukur berapa banyak bagi setiap 50 gram karbohidrat yang dapat meningkatkan tahap gula dalam darah seseorang. Hampir semua makanan yang mengandungi karbohidrat akan dihadamkan menjadi glukosa dan menyebabkan kenaikan sementara dalam tahap glukosa darah, dikenali sebagai tindak balas glisemik.

Makanan yang mempunyai indeks glisemik yang tinggi, iaitu 100, yang bermakna makanan tersebut sama dengan gula tulen yang meningkatkan tahap gula dalam darah. Kita digalakkan untuk memilih makanan karbohidrat dengan indeks glisemik yang rendah. Makanan yang mempunyai indeks glisemik yang rendah dapat membantu mengawal selera makan dan berat kerana makanan tersebut akan diserap lebih perlahan, menyebabkan kenyang lebih lama dan menjadikan orang kurang cenderung untuk makan berlebihan. Makanlah makanan yang mengandungi indeks glisemik yang rendah seperti bijirin dan sayuran kerana makanan ini tidak meningkatkan aras gula yang tinggi dalam darah secara mendadak.


Kuih tempatan yang mengandungi banyak gula dan santan

Akan tetapi, makanan yang mengandungi indeks glisemik yang tinggi akan menyebabkan kita sering lapar kerana makanan tersebut dimetabolismekan dengan lebih cepat daripada makanan yang mempunyai indeks glisemik yang rendah. Makanan yang mempunyai indeks glisemik yang tinggi akan menyebabkan kandungan gula dalam darah meningkat dengan mendadak selepas mengambilnya. Peningkatan kandungan gula yang mendadak akan menyebabkan kita cepat berasa lapar dan letih. Makanan seperti ini tidak baik untuk kesihatan, terutamanya bagi pesakit kencing manis. Jika mengemari kuih tempatan, pilihlah kuih yang rendah kalori seperti apam kukus, popia basah, jagung rebus/bakar, kacang kuda rebus, putu bambu atau putu mayam.

Donut dan mufin mengandungi kalori yang tinggi


Jagung yang direbus atau bakar mengandungi kalori yang rendah


Kurangkan daripada mengambil makanan yang mengandungi garam yang tinggi, pengawet dan pewarna. Semua makanan yang mengandungi natrium ialah garam yang patut dikurangkan kerana natrium adalah tidak baik pada kesihatan. Pengambilan garam yang tinggi boleh menyebabkan penyakit seperti darah tinggi. Had pengambilan garam dalam sehari adalah satu sudu teh sahaja. Makanan segera iaitu bertin dan snek mengandungi garam yang tinggi. Kicap, sos tomato, sos tiram dan taucu juga mengandungi garam yang tinggi.

Manakala pengawet dan pewarna dapat menyebabkan kanser dan penyakit lain. Makanan yang diawet adalah seperti ikan masin, telur masin, belacan, cencaluk, budu, jeruk buah-buahan dan sayur-sayuran. Memakan makan secara segar adalah lebih baik daripada makanan yang diawetkan.

Elakkan juga daripada mengambil minuman atau makanan yang mengandungi karbohidrat ringkas seperti laktosa, sukrosa dan fruktosa dan pilih makanan yang mengandungi karbohidrat kompleks. Antara makanan yang mengandungi karbohidrat ringkas yang tinggi termasuklah roti rol, bun roti kentang, minuman berkarbonat dan jus buah-buahan.

Jeruk buah-buahan yang menggunakan bahan pengawet

Makanan yang telah diproses harus juga dihindari. Kebiasaannya, makanan diproses atas sebab kesihatan supaya tidak mengalami masalah jangkitan kuman dan untuk kemudahan mengimport dan mengangkut makanan tersebut. Kaedah yang digunakan untuk memproses makanan termasuk pengetinan, pembekuan, penyejukan, pengeringan dan pemprosesan aseptik. Banyak makanan yang diproses dibuat dengan menggunakan lemak trans dan lemak tepu. Makanan tersebut mempunyai kandungan natrium, gula dan pengawet yang tinggi, serta kurang mengandungi vitamin dan mineral. Jenis makanan seperti ini haruslah dielakkan, atau sekurang-kurangnya dimakan dengan berhati-hati. Contoh makanan diproses ialah makanan dalam tin, snek, ikan sejuk beku, makan malam beku dan daging yang diproses seperti hotdog, hamburger, bologna, nuget, salami dan ham.

Air minuman berkarbonat mengandungi banyak gula

Kaedah memasak makanan juga sangat penting. Elakkan daripada memasak dengan menggoreng seperti ayam, ikan, kentang dan keropok. Amalkan kaedah memasak yang sihat seperti merebus, mengukus, membakar dan memanggang. Jika minyak diperlukan untuk tumisan, gunakan minyak sayuran seperti minyak zaitun atau minyak biji bunga matahari. Buang lemak daripada daging dan kulit ayam apabila memasak.


Burger ialah antara makanan segera yang mengandungi kalori yang tinggi

No comments:

Post a Comment

Mengira tenaga mengikut aktiviti

Aktiviti fizikal dibahagikan kepada aktiviti sedentari, sederhana dan berat. Aktiviti sedentari atau aktiviti ringan meliputi kebanyakan tug...