Badan yang sihat bermula daripada permakanan yang seimbang.

Monday, August 26, 2019

Mengira tenaga mengikut aktiviti

Aktiviti fizikal dibahagikan kepada aktiviti sedentari, sederhana dan berat. Aktiviti sedentari atau aktiviti ringan meliputi kebanyakan tugas harian yang dilakukan seperti memasak, menonton televisyen, membaca, bekerja di pejabat dan berjalan dari kereta ke tempat kerja dan sebagainya. Aktiviti sederhana, iaitu aktiviti harian ditambah dengan senaman seperti berjalan pantas selama 10 minit per km, menari, berbasikal, bermain golf, memotong rumput dan sebagainya. Aktiviti ini dilakukan pada 3-5 hari seminggu. Aktiviti berat, iaitu aktiviti harian berserta dengan senaman seperti joging, berlari, berenang, bermain tenis, badminton dan bola sepak pada kebanyakan hari dalam seminggu. Kategori ini juga termasuk aktiviti luar biasa seperti latihan intensif untuk pertandingan seperti latihan untuk berlumba lari, pertandingan bola sepak atau maraton. Berikut ialah aktiviti dan jumlah kalori yang digunakan dalam sejam oleh lelaki yang berat badannya 70 kg.

Pengiraan kalori mengikut aktiviti

*anggaran bergantung pada usia, jantina, saiz badan dan kadar metabolisme





Friday, August 23, 2019

Pemakanan yang sihat

Badan yang sihat bermula dengan pemakanan yang seimbang. Merujuk kepada piramid makanan, makanan terbahagi kepada 5 kategori iaitu karbohidrat, serat dan buah-buahan, protein, susu dan lemak. Bagi menghasilkan hidangan yang seimbang kumpulan makanan yang di bawah rajah seperti karbohidrat dan serat harus diambil lebih banyak manakala kumpulan makanan yang di atas rajah seperti lemak, garam dan gula harus diambil dalam kuantiti yang kecil. Bilangan sajian yang diperlukan bagi kategori-kategori makanan ini ialah karbohidrat sebanyak 8-12 sajian sehari, serat dan buah-buahan sebanyak 5 sajian sehari, protein dan susu pula sebanyak 2-3 sajian sehari, manakala lemak, garam dan gula hanya kurang daripada 1 sajian sehari.

Piramid makanan

Thursday, August 15, 2019

Mengubah gaya hidup

Terdapat individu yang mengalami masalah obesiti yang sukar menerima kenyatan bahawa dia berbadan besar dan obes. Kajian menunjukkan ramai individu obes mengalami pentafsiran imej badan yang tidak betul. Terdapat mereka yang menidakkan yang mereka sebenarnya telah menjadi obes. Mereka yang mengalami masalah persepsi obesiti akan menyebabkan masalah obesiti bertambah serius. Individu obes harus mengakui yang dia menghadapi masalah obesiti yang perlu diatasi. Kesedaran sikap diperlukan jika kita ingin mengubah sesuatu. Dia juga harus bertanya kepada diri sendiri dengan jujur mengapa obesiti berlaku. Jika puncanya dapat dikenal pasti maka masalah tersebut sedikit sebanyak dapat diatasi. Adakah kita obes kerana kurang kawalan pada nafsu makan ? Adakah kita cuba melepaskan diri daripada tekanan kehidupan dengan makan ? Jika hal ini berlaku, maka kita harus mencari jalan lain untuk mengurangkan tekanan dalam kehidupan.

Kita juga harus jelas akan tujuan dan matlamat keinginan untuk mengurangkan berat badan berlebihan itu. Matlamat yang jelas membuatkan kita bertekad dan mendorong kita untuk mengurangkan berat badan. Jika tiada matlamat yang jelas, kita akan memberikan banyak alasan untuk tidak mengawal pemakanan atau tidak melakukan senaman.

Menurunkan berat badan memerlukan perubahan kepada gaya hidup dan disiplin diri. Semua tabiat lama harus ditinjau, dikaji semula dan yang negatif harus diberhentikan. Bertindak untuk memulakan tabiat gaya hidup yang sihat. Jika kita tidak tahu bagaimana caranya, nasihat boleh diminta daripada doktor, pakar pemakanan dan sains sukan. Pengetahuan tentang cara untuk mengurangkan berat badan dapat diperolehi dengan membaca buku dan informasi daripada laman sesawang. Terdapat juga banyak salah faham tentang cara untuk mengurangkan berat badan. Diet yang terlampau dan pengambilan ubat kurus yang tidak diketahui kesannya boleh membahayakan kesihatan.

Kita juga harus mengamalkan gaya hidup sihat secara konsisten supaya kesan kepada kesihatan dapat diperoleh. Kita memerlukan semangat dan komitmen yang tinggi untuk membuahkan hasil. Walaupun kesibukan dengan urusan kerja, menghadiri acara sosial dan keluarga boleh mengganggu rutin pemakanan dan aktiviti fizikal kita, jangan biarkan perkara tersebut membataskan semangat kita berubah. Suatu peraturan yang anjal diperlukan untuk mengatasi gangguan ini.

Sebelum kita memulakan program untuk menguruskan badan, kita patut memikirkan dengan teliti sebab kita mahu mengurangkan berat badan. Sebenarnya, kejayaan program senaman banyak bergantung pada keazaman dan kekuatan minda yang kuat untuk menghadapi cabaran dan halangan yang menanti. Terdapat banyak godaan makanan dan halangan yang mendatang yang boleh menyebabkan kita mengabaikan senaman. Kesungguhan menukar gaya kehidupan aktiviti dan pemilihan makanan baik dan seimbang adalah penting untuk kejayaan mengurangkan berat badan.

Perubahan gaya kehidupan dan tabiat pemakanan ini sejajar dengan tuntutan agama, khususnya agama Islam. Agama Islam sangat menggalakkan umatnya mengambil pemakanan sempurna, iaitu pengambilan makanan yang seimbang dan berkhasiat yang diambil dengan cara pemakanan yang baik, bersederhana dan tidak membazir. Sesungguhnya kita makan untuk hidup dan bukanlah kita hidup untuk makan. Islam melarang kita mengambil makanan secara berlebihan dan menurut nafsu seperti dari surah Al-An'am, ayat 6:141. Firman Allah, 'dan janganlah kamu sekalian berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang berlebih-lebihan'. Jika kita makan berlebihan kita akan menjadi mengantuk dan malas untuk beribadah dan bekerja. Makan berlebihan akan menyebabkan obesiti. Di samping itu, apabila kita mengambil makanan yang seimbang, badan kita akan sihat, justeru kita dapat melakukan ibadah kepada Allah dengan rajin dan taat. Apabila kita sering beribadat, maka dari segi rohani dan fizikal kita akan juga menjadi sihat. Nafsu makan kita yang tidak dijaga, akan menjejaskan bukan sahaja fizikal badan dan membataskan pergerakan, tetapi juga menjejaskan rohani. Islam melarang kita daripada membazir makanan. Hampir 40% dari bahan buangan ialah sisa makanan. Oleh itu, pastikan kita mengambil makanan hanya secukupnya supaya tiada makanan yang tersisa.

Dari segi konsep, untuk menguruskan badan adalah mudah iaitu makan sedikit dan bersenam lebih, supaya mendapat imbangan kalori masuk dan keluar yang negatif. Akan tetapi, untuk melaksanakan konsep ini sebenarnya sukar. Kesan perbezaan kalori ini berbeza antara individu kerana metabolisme manusia merupakan suatu yang kompleks. Berapa banyak kalori yang dibakar bergantung pada tahap kecerdasan, simpanan tenaga, tahap motivasi, jenis senaman, genetik dan pemakanan. Apabila terdapat kekurangan kalori, sepatutnya defisit kalori diambil daripada simpanan, iaitu lemak. Akan tetapi, untuk membakar lemak adalah lebih susah kerana pembakaran memerlukan bayak bekalan oksigen melalui aktiviti senaman yang konsisten dan berkesan.

Perubahan cara hidup amat diperlukan daripada segi pengambilan makanan dan melakukan aktiviti fizikal. Apabila kita cuba mengurangkan pemakanan, kita akan mengalami kelaparan dan mengurangkan pemakanan, kita akan mengalami kelaparan dan mengurangkan kadar metabolisme badan. Akibatnya, kita tidak bertenaga untuk bersenam. Terdapat juga individu yang menjadi tertekan apabila tidak dapat makan makanan kegemaran seperti biasa. Di samping itu apabila kelaparan, kita sukar berasa kenyang apabila makan dan senang untuk mengambil makanan lebih banyak daripada biasa. Hakikatnya, jika seseorang itu bersenam dengan berlebihan, dia akan mengalami kelaparan yang akan mencetuskan pengambilan makanan yang berlebihan. Kesemua ini boleh terjadi seperti kitaran yang sering berkaitan antara satu sama lain. Pokok pangkalnya, perubahan ini bergantung pada semangat yang kental dan keazaman yang jitu yang perlu ada dalam diri individu itu sendiri.

Wednesday, August 7, 2019

Senaman bagi individu berpenyakit

Untuk memulakan program senaman, faktor perubatan patut diambil kira. Mempunyai penyakit kronik bukan penghalang daripada melakukan senaman. Malahan kebanyakan penyakit memerlukan senaman untuk mengawalnya. Senaman yang ringan biasanya dibenarkan. Jika berumur >45 tahun, mempunyai penyakit jantung, darah tinggi, kencing manis atau mengambil preskripsi ubat-ubatan, perundingan dengan doktor diperlukan dahulu sebelum memulakan program senaman. Mereka yang mempunyai masalah muskuloskeletal seperti sakit belakang atau lutut, senaman yang berat perlu dihindarkan kerana senaman ini akan menyebabkan masalah kecederaan menjadi bertambah buruk. Masalah perubatan seperti sakit belakang perlu dirawat terlebih dahulu sebelum memulakan program senaman. Mulakan program senaman dengan perlahan dan berhati-hati. Jika tiada masalah, teruskan senaman dan tingkatkan intensiti senaman dengan sederhana. Hanya diri sendiri yang mengetahui batas dan kemampuan badan. Jika semuanya berjalan lancar, senaman dapat diteruskan dan hendaklah berterusan untuk mendapat kesan positif.

Penyakit darah tinggi dapat dikawal dengan lebih baik apabila kita melakukan senaman. Pengambilan ubatan mungkin dapat dikurangkan. Senaman mampu mencegah komplikasi darah tinggi, iaitu serangan jantung dan pembentukan penyakit lain seperti kencing manis. Dalam perubatan, apabila kita telah mendapat satu penyakit, adalah lebih mudah untuk mendapat penyakit kedua. Apabila terdapat dua penyakit, penyakit ketiga lagi lebih mudah untuk terjadi.

Pesakit yang telah mendapat serangan jantung buat kali pertama mudah untuk mendapat serangan jantung yang kedua dan yang lebih teruk lagi boleh menyebabkan kematian. Dapatkan nasihat doktor sebelum memulakan senaman. Pesakit jantung patut memulakan dengan senaman yang ringan dan jika berasa selesa, mereka boleh meningkatkan senaman berintensiti secara perlahan. Mulakan dengan berjalan kaki 30 minit sehari, 2-3 kali seminggu.

Senaman ialah satu rawatan bagi penyakit kencing manis. Aktiviti fizikal merangsang pengeluaran insulin dan menyebabkan gula dalam darah dapat disimpan. Terdapat pesakit kencing manis yang tidak memerlukan sebarang ubatan apabila bersenam. Akan tetapi, mereka memerlukan pemantauan yang berterusan. Jika tahap gula dalam darah meningkat walaupun telah bersenam, senaman tidak dapat mengawal penyakit kencing manis. Mereka mungkin perlu meningkatkan intensiti dan jangka masa senaman. Perlu diingat pesakit kencing manis tidak boleh berlebihan melakukan senaman kerana ditakuti tahap gula dalam darah menjadi sangat rendah dan boleh menyebabkan pesakit pengsan. Pesakit kencing manis yang melakukan senaman haruslah membawa bersama-samanya snek manis seperti gula-gula, coklat atau minuman manis yang boleh diambil jika mereka merasa tanda kekurangan gula, iaitu seperti berasa gelap mata, pening, loya dan sebagainya.

Sunday, July 21, 2019

Prinsip senaman untuk mengurangkan berat badan

Metabolisme ditafsirkan sebagai proses kimia dan fizikal dalam badan yang membekalkan tenaga untuk penyenggaraan kehidupan. Kadar metabolisme bergantung pada genetik, diet, stres, tidur, tahap aktiviti, tahap kecerdasan dan sejarah perubatan. Peningkatan kadar metabolisme bermakna badan kita bekerja dengan lebih efisien.

Kadar metabolisme asas ialah jumlah kalori minimum yang diperlukan dalam keadaan kita berehat (tidak melakukan apa-apa aktiviti). Sejumlah kalori diperlukan oleh badan untuk kita bernafas, mengepam darah ke seluruh badan dan untuk mengoptimumkan suhu badan. Kadar metabolisme asas akan menjadi perlahan apabila kita semakin tua. Jika kita mempunyai badan yang berotot seperti seorang ahli bina badan, maka kadar metabolisme asas akan menjadi tinggi, manakala orang yang obes yang mempunyai banyak lemak di dalam badan akan mempunyai kadar yang lebih perlahan. Seorang yang kurus dan tinggi juga mempunyai kadar metabolik asas yang lebih tinggi daripada orang yang pendek dan obes. Kadar metabolisme asas wanita hamil dan orang yang sakit seperti jangkitan kuman, juga akan meningkat. Genetik dan kadar metabolisme asas seseorang memainkan peranan sama ada seseorang itu mudah atau senang untuk mengurangkan berat badan. Pengurangan pengambilan kalori yang keterlaluan seperti langsung tidak makan akan mengakibatkan badan bertindak balas mengurangkan kadar metabolisme asas untuk melindungi tenaga yang tersimpan. Justeru, dengan menahan lapar sahaja tidak dapat mengurangkan berat badan seseorang.

Purata penggunaan tenaga bagi seorang lelaki yang mempunyai berat badan 70 kg adalah di antara 1500-1800 kalori sehari. Jika dia mengambil diet yang mempunyai kalori yang lebih daripada keperluan penggunaan tenaga, maka lebihan kalori tersebut akan disimpan sebagai lemak di dalam badan. Jika pengambilan kalori berkurangan daripada keperluan, maka dia akan kehilangan berat badan.

Berikut ialah prinsip latihan untuk mengurangkan berat badan. Pada peringkat awal disyorkan senaman aerobik yang menggunakan dumbel yang ringan dan dilakukan secara berulang-ulang. Contoh senaman berulang adalah seperti mengangkat dumbel sebanyak 8-10 kali. Berat hendaklah tidak terlalu berat dan tidak terlalu ringan. Jika kita dapat mengangkat berat 20 kali tanpa masalah, bermakna kita perlu meningkatkan berat dumbel kerana latihan ini tidak akan meningkatkan kepejalan otot. Secara beransur-ansur, tambah masa senaman. Jika berat badan yang hendak dikurangkan adalah banyak, cuba lakukan senaman aerobik secara konsisten dan berterusan seperti 45 minit setiap hari, berbanding dengan melakukan senaman dua kali seminggu selama dua jam. Elok disarankan matlamat berapa banyak berat yang perlu dikurangkan dalam masa sebulan. Matlamat pula perlulah realistik seperti tiga kg dalam sebulan bukan 10 kg dalam sebulan. Jangan terlalu taksub dengan timbangan badan. Jika kehilangan berat badan adalah sedikit, jangan berputus asa kerana kita boleh kehilangan lemak tanpa kehilangan berat badan.

Program realiti pengurangan berat badan di televisyen menunjukkan pengurangan berat yang sangat besar dalam seminggu seperti 12 kg dalam seminggu! kejadian ini sangat menakjubkan. Untuk menghilangkan satu kg berat badan, kita memerlukan pembakaran lebih 1500 kalori.

Berikut ialah prinsip latihan untuk mengurangkan berat badan. Pada peringkat awal disyorkan senaman aerobik yang menggunakan dumbel yang ringan dan dilakukan secara berulang-ulang. Contoh senaman berulang adalah seperti mengangkat dumbel sebanyak 8-10 kali. Berat hendaklah tidak terlalu berat dan tidak terlalu ringan. Jika kita dapat mengangkat berat 20 kali tanpa masalah, bermakna kita perlu meningkatkan berat dumbel kerana latihan ini tidak akan meningkatkan kepejalan otot. Secara beransur-ansur, tambah masa senaman. Jika berat badan yang hendak dikurangkan adalah banyak, cuba lakukan senaman aerobik secara konsisten dan berterusan seperti 45 minit setiapa hari, berbanding dengan melakukan senaman dua kali seminggu selama dua jam. Elok disarankan matlamat berapa banyak berat yang perlu dikurangkan dalam masa sebulan. Matlamat pula perlulah realistik seperti tiga kg dalam sebulan bukan 10 kg dalam sebulan. Jangan terlalu taksub dengan timbangan badan. Jika kehilangan berat badan adalah sedikit, Jangan berputus asa kerana kita boleh kehilangan lemak tanpa kehilangan berat badan.

Program realiti pengurangan berat badan di televisyen menunjukkan pengurangan berat yang sangat besar dalam seminggu seperti 12 kg dalam seminggu! kejadian ini sangat menakjubkan. Untuk menghilangkan satu kg berat badan, kita memerlukan pembakaran lebih 1500 kalori. Oleh itu, 12 kg berat badan yang berjaya dikurangkan memerlukan pembakaran bersih 20 000 kalori dalam seminggu atau lebih 2000 kalori sehari secara berterusan. Jumlah pengurangan berat badan ini adalah sangat banyak dan kebiasaannya kita hanya dapat membakar kalori bersih 200-800 sehari. Kehilangan berat badan yang banyak ini mungkin disebabkan oleh kehilangan air dalam badan dan pengurangan otot, bukan kehilangan lemak sebenarnya. Peserta program realiti TV dapat mengurangkan berat badan dengan banyaknya dalam masa yang singkat kerana mereka menumpukan sepanjang masa dengan melakukan senaman dan mengawal pemakanan dengan ketat.

Pada peringkat awal untuk mengurangkan berat badan, senaman adalah lebih penting daripada diet. Dapatkan kecerdasan badan dahulu, selepas itu baharulah mencuba untuk mengubah diet dengan betul. Jika kita makan berlebihan pada satu hari, lebihan kalori itu dapat dihilangkan dengan senaman pada keesokan hari. Akan tetapi, lebihan kalori tersebut tidak dapat dihilangkan dengan berlapar atau mengurangkan diet sahaja.

Untuk mengurangkan berat badan, jangka masa senaman adalah lebih penting daripada intensiti senaman. Jika didapati kehilangan berat badan sangat sedikit walaupun telah bersenaman secara konsisten, ini bermakna perubahan diet diperlukan. Rekod pemakanan dan senaman patut disimpan untuk memantau perubahan atau ketiadaan perubahan kepada berat badan. Kemungkinan senaman yang dilakukan perlu ditambah masa dan intensiti. Kemungkinan juga makanan yang diambil mengandungi kalori yang lebih berbanding dengan keperluan. Kandungan diet perlu disemak dan makanan yang berlemak dan bergula tinggi harus dijauhi.

Bagi menepati matlamat bersenam, pembahagian masa dengan bijak harus diutamakan. Jika satu jam diperuntukan untuk bersenam, 7 minit untuk memanaskan badan, 4 minit untuk membuat regangan dan 4 minit untuk menyejukkan badan. Selebihnya, 45 minit ialah masa untuk senaman yang sebenarnya. Dicadangkan masa ini dibahagikan kepada 15 minit senaman anaerobik dan 30 minit senaman aerobik. Senaman juga boleh dibahagikan kepada 3 hari senaman aerobik dan 3 hari senaman anaerobik. Terpulanglah kepada keselesaan dan masa yang ada.

Saturday, July 13, 2019

Makanan tinggi kandungan gula boleh menyebabkan obes

Harus diingat terdapat makanan yang mengandungi banyak gula yang tersembunyi seperti dalam kuih tempatan, seperti kuih bingka, bahulu, koci, coklat, kek, donut, mufin, biskut dan lain-lain. Makanan sebegini juga dinamakan  makanan yang mempunyai indeks glisemik yang tinggi. Indeks glisemik ialah satu indeks yang mengukur berapa banyak bagi setiap 50 gram karbohidrat yang dapat meningkatkan tahap gula dalam darah seseorang. Hampir semua makanan yang mengandungi karbohidrat akan dihadamkan menjadi glukosa dan menyebabkan kenaikan sementara dalam tahap glukosa darah, dikenali sebagai tindak balas glisemik.

Makanan yang mempunyai indeks glisemik yang tinggi, iaitu 100, yang bermakna makanan tersebut sama dengan gula tulen yang meningkatkan tahap gula dalam darah. Kita digalakkan untuk memilih makanan karbohidrat dengan indeks glisemik yang rendah. Makanan yang mempunyai indeks glisemik yang rendah dapat membantu mengawal selera makan dan berat kerana makanan tersebut akan diserap lebih perlahan, menyebabkan kenyang lebih lama dan menjadikan orang kurang cenderung untuk makan berlebihan. Makanlah makanan yang mengandungi indeks glisemik yang rendah seperti bijirin dan sayuran kerana makanan ini tidak meningkatkan aras gula yang tinggi dalam darah secara mendadak.


Kuih tempatan yang mengandungi banyak gula dan santan

Akan tetapi, makanan yang mengandungi indeks glisemik yang tinggi akan menyebabkan kita sering lapar kerana makanan tersebut dimetabolismekan dengan lebih cepat daripada makanan yang mempunyai indeks glisemik yang rendah. Makanan yang mempunyai indeks glisemik yang tinggi akan menyebabkan kandungan gula dalam darah meningkat dengan mendadak selepas mengambilnya. Peningkatan kandungan gula yang mendadak akan menyebabkan kita cepat berasa lapar dan letih. Makanan seperti ini tidak baik untuk kesihatan, terutamanya bagi pesakit kencing manis. Jika mengemari kuih tempatan, pilihlah kuih yang rendah kalori seperti apam kukus, popia basah, jagung rebus/bakar, kacang kuda rebus, putu bambu atau putu mayam.

Donut dan mufin mengandungi kalori yang tinggi


Jagung yang direbus atau bakar mengandungi kalori yang rendah


Kurangkan daripada mengambil makanan yang mengandungi garam yang tinggi, pengawet dan pewarna. Semua makanan yang mengandungi natrium ialah garam yang patut dikurangkan kerana natrium adalah tidak baik pada kesihatan. Pengambilan garam yang tinggi boleh menyebabkan penyakit seperti darah tinggi. Had pengambilan garam dalam sehari adalah satu sudu teh sahaja. Makanan segera iaitu bertin dan snek mengandungi garam yang tinggi. Kicap, sos tomato, sos tiram dan taucu juga mengandungi garam yang tinggi.

Manakala pengawet dan pewarna dapat menyebabkan kanser dan penyakit lain. Makanan yang diawet adalah seperti ikan masin, telur masin, belacan, cencaluk, budu, jeruk buah-buahan dan sayur-sayuran. Memakan makan secara segar adalah lebih baik daripada makanan yang diawetkan.

Elakkan juga daripada mengambil minuman atau makanan yang mengandungi karbohidrat ringkas seperti laktosa, sukrosa dan fruktosa dan pilih makanan yang mengandungi karbohidrat kompleks. Antara makanan yang mengandungi karbohidrat ringkas yang tinggi termasuklah roti rol, bun roti kentang, minuman berkarbonat dan jus buah-buahan.

Jeruk buah-buahan yang menggunakan bahan pengawet

Makanan yang telah diproses harus juga dihindari. Kebiasaannya, makanan diproses atas sebab kesihatan supaya tidak mengalami masalah jangkitan kuman dan untuk kemudahan mengimport dan mengangkut makanan tersebut. Kaedah yang digunakan untuk memproses makanan termasuk pengetinan, pembekuan, penyejukan, pengeringan dan pemprosesan aseptik. Banyak makanan yang diproses dibuat dengan menggunakan lemak trans dan lemak tepu. Makanan tersebut mempunyai kandungan natrium, gula dan pengawet yang tinggi, serta kurang mengandungi vitamin dan mineral. Jenis makanan seperti ini haruslah dielakkan, atau sekurang-kurangnya dimakan dengan berhati-hati. Contoh makanan diproses ialah makanan dalam tin, snek, ikan sejuk beku, makan malam beku dan daging yang diproses seperti hotdog, hamburger, bologna, nuget, salami dan ham.

Air minuman berkarbonat mengandungi banyak gula

Kaedah memasak makanan juga sangat penting. Elakkan daripada memasak dengan menggoreng seperti ayam, ikan, kentang dan keropok. Amalkan kaedah memasak yang sihat seperti merebus, mengukus, membakar dan memanggang. Jika minyak diperlukan untuk tumisan, gunakan minyak sayuran seperti minyak zaitun atau minyak biji bunga matahari. Buang lemak daripada daging dan kulit ayam apabila memasak.


Burger ialah antara makanan segera yang mengandungi kalori yang tinggi

Wednesday, July 3, 2019

Makanan yang patut dielekkan

Antara faktor yang boleh menyumbang kepada obesiti ialah tabiat pemakanan yang tidak seimbang kecenderungan dan faktor yang menyumbang kepada kejadian obesiti.

Makanan berlemak dan berkalori tinggi

Makanan yang perlu dielakkan ialah makanan yang berlemak dan berkalori tinggi. Makanan berlemak tidak baik untuk kesihatan kerana dapat menyebabkan saluran darah tersumbat dan seterusnya jantung tidak mendapat bekalan darah beroksigen dan kaya dengan nutrien. Keadaan ini akan menyebabkan serangan jantung dan kematian mengejut boleh berlaku. Malahan, makanan berkalori tinggi menyebabkan lebihan tenaga dan akan disimpan sebagai lemak. Sebenarnya makanan yang mempunyai kalori tinggi adalah lebih mahal berbanding dengan makanan yang rendah kalori.

Hakikatnya, kulit dan kepak ayam serta organ dalaman haiwan mengandungi kandungan kolesterol, lemak dan kalori yang tinggi yang patut dielakkan. Telur dan daging merah mengandungi protein yang tinggi di samping kolesterol yang membahayakan kesihatan. Elekkan daripada memakan telur lebih daripada dua biji sehari. Jika ingin memakan telur setiap hari, amalkan tidak mengambil kuning telur. Santan kelapa yang banyak digunakan dalam masakan pula mengandungi lemak tepu yang tinggi. Cara terbaik untuk mengelakkan daripada mengambil santan ialah dengan menggantikannya dengan  susu cair yang rendah lemak. Rasa masakan tidak banyak berbeza dan mengandungi kurang lemak dan kalori.

Kepak ayam mengandungi lemak trans yang tinggi

Pengambilan kek, biskut dan pastri yang mengandungi mentega atau margerin patut dihadkan. Mentega mengandungi lemak trans manakala margerin mengandungi miyak kelapa sawit berhidrogen yang dapat meningkatkan tahap lemak dan kolesterol dalam darah. Mayones yang biasanya terdapat pada salad dan sandwic juga mengandungi lemak yang tinggi. Shortening atau lelemak kerap digunakan untuk membuat kek, biskut dan pastri pula berasal daripada miyak berhidrogen yang juga tidak baik untuk kesihatan. Justeru, cuba elakkan dari makanan yang mengandungi lemak tersebut atau pilihlah produk marjerin, mayones dan shortening yang rendah kandungan lemaknya.

Pengambilan kek seharusnya dihadkan kerana mengandungi lemak dan gula yang tinggi

Susu dan yogurt makanan yang mengandungi kalsium dan protein yang tinggi tetapi juga mengandungi lemak. Pilih susu dan yogurt yang mengandungi lemak yang rendah. Susu penuh krim, keju, daging merah dan pelbagai jenis minyak seperti minyak sapi, minyak jagung, minyak kelapa, minyak bunga matahari dan minyak kacang mengandungi lemak tepu yang tinggi dan patut dihadkan pengambilannya.

Monday, June 24, 2019

Obesiti dan kesuburan wanita

"Ala Doc, gemuk is awesome kan? Gemuk pun bahagia!" Betul, paras rupa bukanlah ukuran kebahagiaan seseorang. Namun paras tubuh yang obes adalah ukuran kepada tahap kesihatan dan kesuburan anda.

Penambahan berat badan tidak hanya akan membuatkan dress Minaz kesayangan anda kelihatan lebih kecil daripada anda, malah ia juga mengundang satu lagi masalah besar dalam kehidupan rumah tangga anda iaitu INFERTILITI atau ketidaksuburan.

Ovari atau kilang telur wanita juga tahu mogok apabila berat badan tuannya mula meningkat dan memasuki kategori obes. Hormon wanita juga dihasilkan oleh sel-sel lemak melalui proses "aromatisation".

Pertambahan berat badan akan menyebabkan kecelaruan hormon wanita iaitu FSH, LH, estrogen dan progesteron. Sel-sel lemak yang berlebihan ini akan menghasilkan satu aliran hormon estrogen yang berterusan. Ia hampir sama seperti anda sedang mengambil pil kawalan kehamilan dos rendah! Dan keadaan ini semestinya akan menyebabkan ovari gagal berovulasi.
BMI melebihi 30kg/m2 mengurangkan 50 peratus peluang untuk hamil bagi wanita yang menjalani rawatan bayi tabung uji (IVF).

Sunday, June 16, 2019

Puasa efektif turunkan berat badan

Kajian penyelidik Universiti Illinois di Chicago mendedahkan puasa secara berkala merupakan cara efektif menurunkan berat badan. Sebagai percubaan pada hari puasa, responden diminta hanya makan 25 peratus dari kalori yang biasa diambil dalam sehari. Pada hari lain, mereka boleh mengambil 125 peratus kalori.

Contohnya jika biasanya anda mengambil hingga 2,000 kalori per hari, saat puasa kita hanya makan 500 kalori. Lalu hari berikutnya mengambil 2,500 kalori. Hasilnya mereka yang mengatur pola makan seperti ini, mengalami penurunan berat badan signifikan. Adapun cara berpuasa ini boleh disesuaikan dengan kebiasaan masing-masing misalnya berpuasa 2 atau 3 hari dalam seminggu. Selain berpuasa di bulan Ramadan, umat Islam dianjurkan berpuasa sunat pada hari Isnin dan Khamis.

Monday, June 10, 2019

Rajin bersenam tetapi masih obes?Mungkin ini puncanya....


  1. Makan junk food selepas bersenam protein shake yang dicampurkan dengan buah adalah pilihan terbaik.
  2. Kurang tidur (tidur membantu merendahkan paras hormon kortisol)
  3. Kurang minum air (kurang makan atau minum membuatkan tubuh berasa lapar dan memperlahankan kadar metabolisme)
  4. Mengambil ubat-ubatan tertentu.

Tuesday, May 28, 2019

6 cara menurunkan berat badan tanpa menghitung kalori


  • Pilih karbohidrat lengkap
  • Hindari makanan terproses
  • Lebihkan protein
  • Dahulukan sayur
  • Fokus saat makan
  • Minum air putih lebih banyak

Tuesday, May 21, 2019

Perkara yang menyebabkan obesiti


Kejadian obesiti berkait rapat dengan faktor sosiodemografi dan tabiat pemakanan dan aktiviti fizikal. Semakin meningkat usia semakin tinggi risiko kita untuk menjadi obes. Hak ini kerana pengumpulan lebihan tenaga selama bertahun-tahun dan kerana semaki n usia meningkat, penglibatan dalam aktiviti fizikal menjadi semakin berkurangan. Di samping itu, kadar metabolisme badan akan berkurangan dengan peningkatan usia.

Wanita lebih risiko untuk menjadi obes berbanding dengan lelaki kerana wanita lebih mudah untuk mengumpulkan lemak dalam badan kerana faktor genetik. Wanita juga biasanya mengumpul banyak lemak semasa hamil. Wanita juga kurang melakukan aktiviti fizikal yang mencukupi seperti bersenam berbanding dengan lelaki sama ada di rumah mahupun di tempat kerja. Hakikatnya, wanita kurang berkerjaya dan lebih ramai menjadi suri rumah tangga yang lebih kerap menyediakan makanan di rumah dan lebih mudah untuk mengambil makanan secara berlebihan.

Mereka yang mempunyai status sosioekonomi, pekerjaan dan tahap pendidikan yang lebih tinggi adalah risiko untuk menjadi obes. Seorang eksekutif yang berkerja di pejabat kurang melakukan aktiviti fizikal berbanding dengan petani di ladang. Mereka yang berpendapatan dan berstatus ekonomi tinggi juga kurang menggunakan tenaga fizikal berbanding dengan mereka yang berpendapatan kurang. Mereka mempunyai status ekonomi yang tinggi mampu untuk membeli makanan dalam kuantiti yang banyak dan yang mempunyai kandungan kalori yang lebih tinggi.

Jika kita mempunyai keluarga yang obes kita akan lebih senang untuk menjadi obes. Obesiti mempunyai hubungan yang kuat dengan genetik seseorang. Akan tetapi, faktor kekeluargaan juga berhubung kait dengan obesiti kerana terdapat pekongsian persekitaran seperti pekongsian makanan dan cara pemakanan. Di dalam sebuah keluarga, kebanyakan ibu bapa dan anak-anak akan makan makanan yang disediakan dan dimasak oleh seseorang tukang masak, kebiasaannya seorang ibu. Jika makanan yang diambil setiap hari berkalori tinggi, maka kesemua ahli keluarga akan menjadi obes.

Tabiat pemakanan memainkan peranan utama yang menyebabkan obesiti. Tabiat memakan apa saja yang tersedia atau yang dibeli adalah tidak sihat. Media massa pula banyak mengiklankan makanan yang tidak sihat seperti makanan segera, makanan ringan dan minuman berkarbonat yang mengandungi kalori tinggi. Apabila orang ramai menonton iklan ini ramai yang tertarik untuk mengambilnya tanpa menyedari keburukan mengambil makanan dan minuman tersebut.

Tabiat makan makanan berseorangan juga tidak sihat kerana kita boleh terlebih makan tanpa kita sedari. Tabiat membeli dan menyimpan stok makanan kegemaran yang tinggi kandungan kalori di rumah seperti ais krim, coklat, pizza, dan ayam goring sebenarnya tidak baik kerana kita akan terdorong memakan makanan tersebut walaupun tidak berasa lapar. Lebih baik untuk tidak menyimpan stok makanan tersebut di rumah. Sekiranya kita ingin memakan makanan tersebut memadailah dengan membeli sedikit sahaja dan terus menghabiskannya.

Jadual : Faktor penyebab dan penghalang obesiti


Cara memasak adalah sangat penting dalam penyediaan makanan kerana cara ini dapat menentukan kandungan kalori sesuatu hidangan. Obesiti akan mudah berlaku jika makanan kerap dimasak dengan santan, kerap digoreng atau menggunakan banyak lemak dan gula. Cara memasak yang sihat adalah seperti mengukus, merebus, mencelur, membakar atau memanggang. Sesetengah sayur juga lebih baik dimakan tanpa dimasak atau dicelur sahaja untuk mengekalkan kesegaran dan kandungan vitamin, di samping mengurangkan kandungan kalori hidangan.


Memakan makanan sambal menonton televisyen adalah amalan yang tidak sihat. Menonton televisyen sambal makan menyebabkan kita tidak sedar jumlah makanan yang kita makan. Biasanya ketika menonton, kita gemar mengambil snek yang berkalori tinggi yang kurang mengandungi zat makanan seperti kerepek kentang, keropok dan sebagainya.

Menonton televisyen pada waktu yang lama boleh 
menyebabkan obesiti

Aktiviti fizikal adalah suatu faktor yang sangat penting yang menghalang obesiti. Jika kita kurang aktif, lebihan tenaga akan disimpan sebagai lemak di dalam badan. Sekarang terdapat banyak peralatan elektronik seperti telefon mudah alih, ipad, tablet komputer, komputer riba dan sebagainya yang penggunaannya menyebabkan kita tidak melakukan aktiviti fizikal langsung. Hobi berkebun beberapa hari seminggu seperti menanam bunga atau sayur dibelakang rumah boleh mengurangkan risiko obesiti. Amalan membasuh kereta sendiri berbanding dengan menghantar ke kedai cuci kereta dapat menambahkan penggunaan tenaga. Di samping itu, amalan bermain komputer atau menonton televisyen dalam jangka waktu yang lama harus dielakkan. Apabila duduk terlalu lama semasa menonton atau bermain komputer akan menyebabkan kurang dibakar dan seterusnya obesiti senang berlaku.

Terdapat penyakit yang boleh menyebabkan obesiti seperti penyakit endokrin dan otak. Lebihan hormon tertentu yang dihasilkan boleh menyebabkan lemak dan air terkumpul di dalam badan. Ubatan tertentu seperti steroid dan estrogen juga boleh memerangkap air dalam badan yang menyebabkan badan menjadi obes. Pesakit yang mengambil steroid akan menjadi obes pada bahagian atas bahu dan muka.

Friday, May 17, 2019

Susu baik untuk hindarkan keluarga dari obesiti

PRIHATIN memilih hidangan sihat sewaktu bersarapan. Sebaik-baiknya, anda disarankan mengelak ayam goreng, kentang goreng atau burger, sebaliknya mengambil makanan kaya protein seperti tuna dan kacang saya nagi meningkatkan glukosa dalam darah dan memastikan tubuh mendapat nutrisi yang cukup. Lebih baik lagi jika sarapan dilengkapi dengan susu. Kajian penyelidik Universiti Tel Aviv mendedahkan susu memiliki kandungan protein whey yang tinggi yang dapat menurunkan berat badan dan mencegah penyakit diabetes.


Monday, May 13, 2019

Tip bersenam untuk si obes

Mereka yang berdepan masalah obesiti perlu memilih jenis senaman yang tepat. Antaranya berjalan kaki sekitar 10-15 minit sehari, latihan kekuatan bagi memperbaiki postur tubuh yang selama ini membawa berat berlebihan, berbasikal bagi membantu merampingkan tubuh dan membentuk punggung, paha serta pinggang kerana bahagian-bahagian tersebut adalah yang paling sering dijadikan tempat timbunan lemak dan berjoging. Bagi mencapai matlamat menurunkan berat badan, tidak perlu meletakkan sasaran yang terlalu tinggi dan fokus kepada membina stamina terlebih dahulu.

Sunday, May 5, 2019

Masalah Obesiti


Perkataan obesiti berasal daripada perkataan latin yang bermaksud gemuk atau berisi secara umum, obesiti dapat ditakrifkan sebagai lemak tambahan dalam badan yang tersimpan di dalam tisu akibat pengambilan makanan yang berlebihan kalori, yang tidak seimbang dengan tahap pergerakan kerja fizikal yang dijalankan. Dalam perubatan, obesity ditakrifkan sebagai lebihan berat badan berbanding dengan berat badan ideal mengikut piawaian tertentu. Berat badan ideal mengambil kira ketinggian, umur dan jantina seseorang. Obesiti merupakan pengumpulan lemak badan yang tidak normal.


Obesiti merupakan masalah kesihatan utama di seluruh dunia

Seluruh dunia sekarang mengalami peningkatan penyakit bukan berjangkit yang dikaitkan dengan gaya hidup yang tidak sihat seperti pemakanan mengandungi lemak yang tinggi dan tidak bersenam. Gaya hidup yang tidak sihat ini berkait langsung dengan keadaan ekonomi Negara yang lebih baik dan bertambah maju. Semakin tinggi tahap sosioekonomi sesebuah Negara, semakin berubah cara hidup penduduknya ke arah amalan yang tidak sihat. Pertubuhan Kesihatan Sedunia menganggarkan lebih satu billion orang mempunyai berat badan yang berlebihan di seluruh dunia, dan jika trend sekarang berterusan, jumlah itu akan meningkat kepada 1.5 bilion menjelang 2015. Berat badan berlebihan ialah faktor risiko utama bagi penyakit Kardiovaskular, iaitu penyebab kematian nombor satu dan penyumbang kepada lebih 17 juta kematian setiap tahun. Kira-kira 80% daripada penyakit jantung, strok dan diabetes jenis 2 dan 40% kanser boleh dielakkan melalui pemakanan yang sihat, aktiviti fizikal yang kerap dan pengelakan penggunaan tembakau.


Amalan pemakanan masyarakat telah berubah kepada makanan yang lebih mudah disediakan dan didapati seperti makanan di restoran makanan segera, yang berpaket dan bertin. Cara hidup yang sibuk menyebabkan kita tiada masa untuk menyediakan makanan sendiri. Makanan yang telah tersedia yang dijual di kedai atau restoran kebanyakannya tidak seimbang dari segi zat dan kandungannya. Kebanyakan makanan mempunyai lemak, minyak, garam, dan bahan perasa kimia dan pengawet yang tinggi. Masyarakat juga kurang memakan sayur-sayuran dan buah-buahan kerana sukar untuk membeli yang segar setiap hari.

Kesibukan menyebabkab kita mengambil jalan senang dalam kehidupan seharian seperti menaiki kenderaan berbanding dengan berjalan kaki dan menaiki lif berbanding dengan memanjat tangga. Teknologi yang pesat juga menyebabkan kita berkomunikasi dengan telafon atau email sahaja dan tidak memerlukan kita bergerak secara fizikal. Teknologi yang canggih juga menyebabkan kita menghabiskan banyak masa di hadapan computer dan televisyen yang tidak menggunakan tenaga yang banyak.

Penggunaan komputer yang dikaitkan dengan obesiti


Amalan pemakanan yang tidak sihat dengan aktiviti fizikal yang tidak mencukupi menyebabkan obesiti. Apabila kita obes, kita sering tidak bertenaga, susah melakukan pergerakan di samping tidak cantik dipandang. Baju yang cantik dan menarik tidak lagi dapat dipakai. Obesiti ialah satu yang boleh dicegah dengan melakukan aktiviti fizikal yang mencukupi dan pemakanan yang seimbang. Jika obesiti telah berlaku, gejala ini dapat diatasi dengan melakukan senaman secara konsisten dan mengurangkan pengambilan makanan berkalori tinggi.

Di Malaysia terdapat beraneka jenis makanan mengikut tradisi dan etnik. Perayaan juga disambut beberapa kali setahun yang menyebabkan makanan tradisi masing-masing. Kesemua makanan perayaan tersebut seperti ketupat, lemang dan rending daging menggoda selera makan kita. Masyarakat Malaysia juga mengamalkan cara masakan yang banyak mggunakan minyak dan santan. Menggoreng ialah kaedah masakan yang paling kerap diamalkan.

Kaji Selidik Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan ketiga pada tahun 2006 menunjukkan peningkatan kadar lebihan berat badan dan obesitti di Malaysia. Kaji selidik ini menunujukkan 29.1% penduduk dewasa di Malaysia lebih berat badan dan 14% obes. Kadar ini telah meningkat jika dibandingkan dengan kadar pada tinjauan kedua pada tahun 1996, hanya 16.6% mengalami lebihan berat badan dan 4.4% obesity. Kaji Selidik Pemakanan Orang Dewasa Malaysia pada tahun 2003 juga menunjukkan kadar yang tinggi iaitu 27.4% mengalami lebihan berat badan dan 12.7% obesiti.


Kadar obesity berkadar terus dengan peningkatan usia. Kaji Selidik Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan Ketiga pada tahun 2006 menunjukkan kadar adalah tinggi dalam kalangan etnik India dan Melayu, wanita dan suri rumah tangga. Bangsa India dan Melayu didapati kurang terlibat dalam aktiviti fizikal, manakala wanita dan suri rumah tangga pula mengalami masalah obesiti yang  berkaitan dengan penghamilan. Populasi Bandar juga didapati mempunyai kadar obesiti yang lebih tinggi berbanding dengan populasi luar Bandar. Mereka yang berpendidikan tinggi dan berjawatan profesional juga didapati mempunyai kadar obesiti yang lebih tinggi berbanding dengan mereka yang kurang berpendidikan dan yang melakukan pekerjaan manual. Perbezaaan kadar obesiti adalah disebabkan oleh kekurangan aktiviti fizikal dan tingkah laku pemakanan yang tidak sihat.

Keratan Akhbar Utusan Malaysia 9 Julai 2010

Masalah obesiti menyumbang kepada kos ekonomi yang sangat besar. Kos bukan sahaja dikira dari segi kos rawatan obesity seperti kos menjadi ahli kelab senaman atau kos perbelanjaan produk-produk untuk menguruskan badan. Kos yang terbesar akibat masalah obesiti ialah kos disebabkan oleh kompilasi penyakit dan kematian pramatang pada usia muda. Lebih 50 juta orang  Amerika Syarikat menjadi ahli kelab kesihatan yang melibatkan US$19 bilion setahun. Di Malaysia, kos ahli kelab kesihatan mungkin tidak berapa tinggi. Akan tetapi, kos ubat-ubatan seperti pil kurus, suplemen protein, rawatan mencairkan lemak, pembedahan kosmetik dan sebagainya adalah mahal yang tidak diketahui jumlahnya. Begitu juga dengan kos yang terjadi akibat tidak dapat bekerja kerana penyakit kronik yang berkaitan dengan obesity, seperti terpaksa mendapatkan rawatan di wad penjagaan rapi apabila mendapat serangan jantung.



Tuesday, April 30, 2019

Cara Mengukur Gemuk

Kegemukan adalah suatu penyakit yang kronik disebabkan oleh cara hidup yang tidak sihat, iaitu malas bersenam dan banyak mengambil makanan yang tinggi kadar kalorinya. Tenaga kalori yang tidak digunakan bertukar menjadi lemak dan lebihan lemak menyebabkan lebihan berat badan dan akhirnya kegemukan. Keadaan ini meningkatkan risiko seseorang menghidap penyakit kencing manis, darah tinggi, sakit jantung, strok, radang hempedu atau gall bladder, kanser prostat, payu dara dan usus besar. British Nutrition Foundation pada tahun 1999 melaporkan, wanita putus haid yang gemuk menanggung risiko tinggi menghidapbarah payu dara. Pada hari ini, lebih kurang 97 juta rakyat Amerika menghadapi masalah lebihan berat badan dan kegemukan.
 
  Pada tahun 1997, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan masalah kegemukan sebagai wabak yang serius dan sekiranya dibiarkan dapat mendatangkan kesan yang buruk kepada masyarakat. Bagi memastikan sama ada seseorang sedang mengalami masalah ini ataupun tidak, beberapa cara boleh digunakan. Di antara cara yang popular adalah dengan mengira Indeks Berat Badan atau Body Mass Index atau BMI. BMI ditentukan dengan membahagikan berat badan seseorang dalam kilogram (kg) dengan ketinggiannya yang diganda dua dalam meter (m²) iaitu, berat (kg) / ketinggian²(meter²). Jumlah yang diperolehi kemudiannya dibandingkan dengan carta klasifikasi IOTF atau International Obesity Task Force seperti yang tertera di bawah:


Kegemukan bermula apabila BMI seseorang mencecah 30.0. BMI yang melebihi paras 40.0 dianggap berbahaya dan boleh mengancam nyawa seseorang. 

Gemuk dan Lebihan Berat Badan

Menurut Baihaqi, Nabi Muhammad berkata, "Mengambil makanan secara yang berlebihan membawa kepada keburukan." Dalam riwayat yang lain, menurut Bukhari, Nabi Muhammad diberitahu berkenaan seorang lelaki yang kuat makan. Kemudian, lelaki itu memeluk Islam dan mengurangkan pengambilan makanannya. Berita ini sampai ke pengetahuan Nabi Muhammad dan beliau terus berkata , "Orang mukmim makan dengan satu perut dan orang kafir makan dengan tujuh perut." Islam amat membenci sikap melampau-lampau di dalam makan minum. Imam Ghazali berkata, "Kekenyangan dapat menyebabkan hawa nafsu bergelora dan mendatangkan penyakit-penyakit kepada tubuh badan.

Sumber : Buku Perubatan Islam dan Bukti Sains Moden oleh Dr. Danial Zainal Abidin

Tuesday, April 9, 2019

Makanan seimbang

Setiap jenis makanan yang dimakan akan mempengaruhi kesihatan kita. jika diri kita. Jika diri kita mudah alpa dan mengikut nafsu tanpa memikirkan risikonya ke atas badan maka kita ialah calon yang akan mengalami obesiti tanpa disedari. Kealpaan dalam memilih makanan yang seimbang boleh menjerumuskan diri kita ke dalam permasalahan obesiti.

Jenis Zat Makanan

Diet seimbang seharusnya mengandungi semua zat makanan yang diperlukan oleh badan, iaitu karbohidrat, protein, lemak, vitamin, mineral dan serat. Makanan seimbang seharusnya mengandungi 55% karbohidrat, 30% protein dan 15% lemak. Kandungan kalori pula boleh dibahagikan, iaitu karbohidrat 4, protein 4 dan lemak 9 untuk setiap gram. Lemak mengandungi lebih dua kali ganda nilai kalori yang diperolehi daripada karbohidrat dan protein. Oleh itu, adalah lebih baik untuk mengurangkan atau mengelakkan pengambilan lemak dan melebihkan makanan yang mengandungi karbohidrat dan protein. Lebihkan makanan yang mengandungi protein dan karbohidrat kompleks jika kita hendak mengurangkan berat badan kerana jenis makanan ini dapat memberikan rasa kenyang dengan lebih lama.

Amalan pemakanan punca obesiti


Majoriti rakyat Malaysia memang gemar mengambil nasi lemak ketika sarapan kerana makanan itu mudah untuk didapati dan harganya yang murah. Tetapi awas, nasi lemak sebenarnya mengandungi kalori yang amat tinggi kerana kebiasaannya turut dihidangkan bersama ikan bilis, sambal dan telur.
Oleh itu, amalan berkenaan perlulah dikurangkan dengan mengambil makanan lebih sihat seperti oat, roti bakar ataupun susu.
Selain itu, budaya makan pada waktu tengah malam sering kali diamalkan rakyat Malaysia. Hal ini bersangkut paut dengan kedai makan yang beroperasi selama 24 jam yang menggalakkan lagi penduduk untuk singgah bagi menjamu selera. Namun, tabiat berkenaan dapat dikurangkan dengan makan sebelum pukul 8 malam bagi mengelakkan rasa lapar di tengah malam.
Seterusnya, penduduk Malaysia jarang sekali mengamalkan aktiviti sihat seperti bersukan. Kebanyakan mereka lebih tertumpu untuk menghabiskan masa bermain permainan video dan menonton televisyen. Tabiat itu amat berisiko kerana boleh menyebabkan pelbagai penyakit dan kegemukan.
Oleh yang demikian, perkara berkenaan perlulah dielakkan bagi menjamin kesihatan tubuh badan. Pada waktu sama, bilangan penduduk Malaysia yang menaiki pacuan empat roda seperti kereta adalah lebih banyak berbanding mereka yang menunggang basikal dan berjalan kaki.
Namun, mereka tetap boleh mengamalkan gaya hidup sihat dengan membiasakan diri meletakkan kenderaan di tempat yang agak jauh ketika hendak membeli-belah dan menaiki basikal ke kedai yang berdekatan dengan tempat kediaman.

Sumber : 
http://www.utusan.com.my/rencana/forum/amalan-pemakanan-punca-obesiti-1.203611

Monday, April 8, 2019

Obesiti di kalangan kanak-kanak dan remaja

Di Malaysia, peningkatan masalah obesiti dalam kalangan kanak-kanak berumur 7-10 tahun adalah sebanyak 6.6% bagi umur tujuh tahun ke 13.8% bagi umur 10 tahun. Sebanyak 12.8% daripada kanak-kanak ini adalah lelaki. Masalah obesiti ini juga semakin ketara di kalangan remaja berumur 13-17 tahun.

Kanak-kanak yang mengalami masalah kegemukan adalah berisiko untuk menjadi obes apabila dewasa dan keadaaan ini akan menjurus kepada kewujudan masalah kronik
yang lain pada masa hadapan (Chee et al, 2008)

Faktor- faktor yang menyebabkan obesiti

1. Keturunan dan faktor genetik
2. Tiada senaman yang mencukupi
3. Nutrisi yang tidak seimbang/ Pengambilan makanan dengan kadar yang banyak
4. Hormon
5. Pengambilan ubat/ Rawatan
6. Virus

Kanak- kanak dan remaja yang cenderung dalam pemakanan dan aktiviti yang tidak
sihat mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk menjadi obes.

Friday, April 5, 2019

Mengenai Obesiti

Obesiti bermaksud sebagai lebihan lemak tubuh yang boleh menyebabkan masalah kepada kesihatan. Obesiti berlaku apabila saiz atau bilangan sel lemak di dalam tubuh meningkat (Myers, 2004)

Indeks jisim tubuh atau Body Mass Index (BMI) merupakan kaedah yang digunakan untuk mendapat data asas tahap kegemukan dan obesiti. BMI digunakan dengan mengira berat badan dalam unit kilogram (kg) dan dibahagikan kepada tinggi dalam unit meter kuasa dua (m2).

Obesiti merupakan satu penyakit kronik yang boleh menyebabkan pelbagai penyakit contohnya seperti :

1. Diabetis
2. Darah tinggi
3. Penyakit jantung
4. Kegagalan sistem pernafasan
5. Kegagalan sistem perkumuhan
6. Kanser dan sebagainya

Menurut satu kajian, (Kelishadi, WHO 2007), kes obesity semakin menular di kalangan kanak-kanak dan remaja di negara-negara membangun. Penyakit obesiti merupakan satu faktor utama yang akan membawa kepada rintangan terhadap insulin dan sindrom metabolik. Sindrom metabolik juga adalah tinggi di kalangan penduduk dewasa di Asia.

Di Malaysia, sehingga tahun 2006, 29% penduduk dewasa mempunyai berat badan yang lebih dan 14% mengalami obesiti. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan bahawa pada tahun 2015, secara kasar 2.3 bilion penduduk di dunia akan mempunyai berat badan yang lebih dan 700 juta penduduk dunia akan mengalami obesiti.


Mengira tenaga mengikut aktiviti

Aktiviti fizikal dibahagikan kepada aktiviti sedentari, sederhana dan berat. Aktiviti sedentari atau aktiviti ringan meliputi kebanyakan tug...